Selepas mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama lalu, Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya terus mengukuhkan cengkaman mereka dalam carta SS Purple League (SSPL) 2016/17 selepas menewaskan KB Klang City 4-1 (13-6) di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Dalam kategori perseorangan lelaki, Satheistharan menghadiahkan kemenangan pertama kepada KB Petaling Jaya apabila mudah mengatasi lawannya, Muhammad Safiyuddin, 11-4, 11-6, 11-6 (3-0).

Selepas itu, dalam kategori perseorangan wanita pula, giliran pemain import dari China, Deng Xuan, mengatasi pemain remaja negara, Thinaah Muralitharan, 9-11, 11-8, 11-6, 11-9 (3-1), untuk memberi mata kepada KB Petaling Jaya.

KB Klang City, bagaimanapun, mencuri mata apabila beregu lelaki mereka, Low Hang Yee-Yang Po Han, menumpaskan gandingan Jagdish Singh-Nipitphon Phuangphuapet, 11-4, 10-11, 11-6, 8-7 (3-1).

Memasuki kategori beregu campuran, gandingan Bodin Issara-Prajaktha Sawant kembali menceriakan kem KB Petaling Jaya. Mereka mengatasi Chin Kah Mun-Hoo Pang Ron dalam pertarungan 30 minit dengan, 11-9, 10-11, 11-8, 9-3 (3-1), sekaligus menambahkan kutipan mata pasukan itu.

Dalam kategori terakhir, iaitu perseorangan lelaki, Goh Giap Chin berjaya melengkapkan hari gemilang KB Petaling Jaya menerusi kemenangan 11-10, 11-3, 10-11, 11-1 (3-1) ke atas Chin Wai Kin bagi memastikan kemenangan kedua pasukannya dalam kempen SSPL kali ini.

Mengulas kemenangan itu, Pengurus KB Petaling Jaya, Yeoh Kay Lun, mengharapkan anak buahnya lebih konsisten, sekali gus terus mencatatkan kemenangan dalam baki saingan SSPL.

"Sebenarnya kami sasar lebih banyak mata kemenangan tetapi kami mendapat 13 mata. Itupun sudah memadai kerana kami mahu layak ke peringkat enam pasukan terbaik dahulu setakat ini.

"Saya harap dalam perlawanan selepas ini menentang KB Ampang Jaya, kami dapat menurunkan pemain yang lebih mantap.

"Dengan pemain yang semakin selesa dengan keadaan gelanggang, saya yakin mereka akan lebih menyerlah dan terus mendapatkan mata untuk pasukan ini," katanya.

Keputusan SSPL 2016/17

KB Klang City kk KB Petaling Jaya 6-13

MS2: Muhammad Sufiyuddin kk Satheishtharan 0-3 (4-11, 6-11, 6-11).

WS: Thinaah Muralitharan kk Deng Xuan 1-3 (11-9, 8-11, 6-11, 9-11).

MD: Low Hang Yee-Yang Po Han mn Jagdish Singh-Nipitphon Phuangphuapet 3-1 (11-4, 10-11, 11-6, 8-7).

XD: Chin Kah Mun-Hoo Pang Ron kk Bodin Issara-Prajaktha Sawant 1-3 (9-11, 11-10, 8-11, 3-9).

MS1: Chin Wai Kin kk Goh Giap Chin 1-3 (10-11, 3-11, 11-10, 11-1).