Kelab Badminton (KB) Bandar Utama Dragons mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan SS Purple League (SSPL) 2016/17 apabila bangkit dari ketinggalan untuk menumpaskan KB Petaling 10-8 di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Pemain perseorangan lelaki dari Jepun, Kenichi Tago, menghadiahkan kemenangan pertama buat KB Petaling selepas mudah mengatasi pemain Hong Kong, Wei Nan, 11-2, 11-7, 11-8 (3-0), dalam perlawanan pertama.

Selepas itu, perseorangan wanita KB Petaling, Hera Desiana Rachmawati, meneruskan rentak cemerlang pasukannya apabila menang 7-11, 11-9, 11-5, 7-2 (3-1), mengatasi pemain KB Bandar Utama Dragons, Chiang Mei Hui.

Apapun, dalam kategori beregu lelaki, gandingan Tan Wee Kiong-Chooi Kah Ming mencuri mata pertama untuk KB Bandar Utama Dragons apabila mengalahkan Chen Tang Jie-Goh V Shem, 11-9, 10-11, 11-8, 11-7 (3-1), untuk merapatkan kedudukan kepada 4-7.

Penguasaan KB Bandar Utama Dragons berterusan selepas itu. Dalam persaingan beregu campuran, mereka sekali lagi bangkit untuk mencatat kemenangan menerusi gandingan Chow Mei Kuan-Markis Kido yang menundukkan wakil KB Petaling, Agripinna Prima-Devi Tika Permatasari, 11-5, 11-7, 11-8 (3-0).

Kebangkitan KB Bandar Utama Dragons itu sekali gus mengikat kedudukan mata 7-7 buat kedua-dua pasukan.

Pemain perseorangan lelaki dari Indonesia, Tommy Sugiarto, menumpaskan Iskandar Zulkarnain dalam set terakhir, sekali gus mengesahkan kebangkitan gemilang pasukan KB Bandar Utama Dragons. Dalam perlawanan mendebarkan itu, Tommy mengatasi Iskandar 11-7, 11-6, 5-11, 5-4 (3-1).

Bagi Tommy, walaupun format SSPL agak mencabar, namun dia tetap berpuas hati kerana mengutip mata penting buat pasukannya.

"Perlawanan 30 minit ini baru untuk saya. Apapun ia mendebarkan dan menarik. Saya harap akan membaiki kelemahan dan terus konsisten untuk membantu pasukan KB Bandar Utama Dragons ke pentas akhir,” kata pemain berusia 28 tahun dari Indonesia itu.

Sementara itu, jurulatih KB Bandar Utama Dragons, Tan Bin Shen, menganggap kemenangan itu adalah hasil aksi pemainnya yang sentiasa mempamerkan semangat tinggi dalam perlawanan setakat ini.

"Saya rasa kebangkitan tadi adalah bermula dari beregu lelaki. Itulah titik tolak kepada pasukan KB Bandar Utama Dragons.

“Kami sudah mencatatkan dua kemenangan, jadi saya harap kami akan terus fokus ke peringkat enam pasukan terbaik dulu. Dengan dua kemenangan dan mata yang tinggi, saya harap pemain akan kekal dengan semangat tinggi untuk menang setiap perlawanan,” ujar Bin Shen selepas tamat perlawanan.

Keputusan:

KB Petaling kk KB BU Dragons 8-10

MS2: Kenichi Tago mn Wei Nan, 3-0 (11-2, 11-7, 11-8).
WS: Hera Desiana Rachmawati mn Chiang Mei Hui, 3-1 (7-11, 11-9, 11-5, 7-2).
MD: Chen Tang Jie-Goh V Shem kk Chooi Kah Ming-Tan Wee Kiong 1-3 (9-11, 11-10, 8-11, 7-11).
XD: Agripinna Prima Ramanto-Devi Tika Permatasari kk Chow Mei Kuan-Markis Kido, 0-3 (5-11, 7-11, 8-11).
MS1: Iskandar Zulkarnain kk Tommy Sugiarto, 1-3 (7-11, 6-11, 11-5, 4-5).