Purple League: Hafiz yakin kemampuan KB Kepong

By Shaiful Shamsudin 13 December 2016
 Purple League: Hafiz yakin kemampuan KB Kepong
Juara kebangsaan, Lim Chi Wing, serta pemain berpengalaman, Hafiz Hashim, menjadi sandaran Kelab Badminton (KB) Kepong dalam menghadapi saingan Purple League musim 2016/17. 

Kehadiran dua pemain perseorangan itu memperkuatkan lagi cabaran KB Kepong dalam memburu gelaran juara keseluruhan seperti yang dimenangi pada edisi pertama musim 2014/15. 

Walaupun faktor usia kini menjadi halangan buat Hafiz, dia bertekad membantu KB Kepong mencapai sasaran berkenaan. 

"Tahun ini saya melihat peluang kami agak cerah. 

"Pemain-pemain yang diimport pun semuanya bagus juga. Saya harap dapat meraih kedudukan enam teratas (untuk ke kalah mati)," kata Hafiz. 

Dalam masa sama, Ching Wing berharap momentum kemenangan dalam saingan Grand Prix (GP) Final Kebangsaan minggu lalu dapat dikekalkan untuk menghadapi kempen Purple League. 

Walaupun Purple League menampilkan format berbeza, Chi Wing mengakui kejuaraan yang diraih memberinya lebih motivasi untuk menyerlah dalam kejohanan liga badminton profesional itu. 

"Saya perlu fokus dan bersedia dengan baik. 

"Bermain dengan sistem 30 minit yang diguna pakai dalam Purple League ini, pemain perlu menerapkan corak permainan pantas dan menyerang, di samping kurang membuat kesilapan mudah," katanya dalam majlis penerimaan tajaan pasukan KB Kepong bagi kempen musim baru Purple League, hari ini. 

Selain Hafiz dan Chi Wing, KB Kepong turut diperkuatkan oleh pemain Thailand, Savitree Amitrapai serta Portip Buranaprasertsuk, di samping perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi. 



About Author

Shaiful Shamsudin

Comment