Perlawanan pembukaan Purple League 2016/17 bagi musim ketiga di antara Kelab Badminton (KB) Puchong United dan KB Bandar Utama Dragons berakhir dengan kemenangan 3-2 (9-8) kepada KB Bandar Utama Dragons.

Format baru saingan Purple League menyaksikan perlawanan dimulakan dengan kategori perseorangan lelaki, diikuti perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu campuran dan sekali lagi perseorangan lelaki bertarung pada set kelima dengan menggunakan format 11 mata.

Untuk itu, pemenang ditentukan dalam tempoh masa 30 minit permainan sahaja dalam setiap kategori.

Dalam kategori pertama perseorangan lelaki, pemain KB Bandar Utama Dragons, Wei Nan, berjaya menumpaskan Chong Wei Feng 11-10, 10-11, 9-7 (2-1) dalam masa 30 minit untuk kemenangan pertama pasukannya.

Selepas itu, perseorangan wanita pula menyaksikan pemain wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei, yang mewakili KB Bandar Utama Dragons, meneruskan penguasaan pasukannya selepas menewaskan Pan Lu 11-2, 11-4, 4-11, 11-6 (3-1).

Mengulas kemenangannya, Jin Wei berkata, “Saya berasakan pada set pertama dan kedua, saya bermain dengan baik, namun pada set ketiga saya terlalu gementar untuk mengejar kemenangan sehingga menyebabkan saya melakukan banyak kesilapan dan kalah.

"Apa pun, saya berjaya memperbaikinya dan menghadiahkan kemenangan pertama kepada pasukan menerusi kemenangan 3-1,” ulas pemain berusia 16 tahun yang sedang meningkat naik itu.

Kategori beregu lelaki sekali lagi menyaksikan KB Bandar Utama Dragons melalui gandingan Chooi Kah Meng-Mak Hee Chun menjarakkan pungutan mata selepas menumpaskan Low Juan Shen-Ong Yew Sin 11-4, 11-8, 11-9 (3-0).

Dalam kategori beregu campuran, pemain negara yang meraih pingat perak dalam temasya Olimpik Rio, Goh Liu Ying, bersama gandingannya, Lim Khim Wah, menghadiahkan mata kepada KB Puchong United apabila menang 11-8, 10-11, 11-9, 4-2 (3-1) ke atas Chow Mei Kuan-Tan Kian Meng dalam masa 30 minit.

Dalam kategori kelima perseorangan lelaki, pemain import KB Puchong United dari Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk, menghadiahkan mata kepada pasukannya selepas menundukkan Tommy Sugiarto 11-7,11-10, 11-7 (3-0).

Bagaimanapun, kemenangan itu sudah terlambat untuk menidakkan kemenangan sulung KB Bandar Utama Dragons dalam perlawanan pembukaan Purple League 2016/17.