Walaupun terpaksa seri tiga kali dalam perlawanan menentang Kelab Badminton (KB) Serdang, ia nyata bukan penghalang buat KB Puchong United meraih kemenangan pertama (12-7) dalam kempen SS Purple League (SSPL) 2016/17 di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Kategori perseorangan lelaki menyaksikan pertembungan menarik di antara pemain senior dan junior kebangsaan. Chong Wei Feng, yang mewakili KB Puchong United bertemu Lee Zii Jia terpaksa berkongsi mata, 11-9, 9-11, 11-6, 2-4 (2-2).

Selepas itu, dalam aksi perseorangan wanita, kedua-dua pasukan sekali lagi terpaksa berkongsi mata selepas 30 minit permainan. Kali ini, pemain KB Puchong United, Pan Lu, pula terikat dengan pemain KB Serdang, Chen Hsiao Huan, 11-4, 4-11, 11-10, 9-10 (2-2).

Keadaan mula berubah dalam kategori beregu lelaki apabila KB Puchong United dilihat mula menguasai perlawanan. Gandingan mereka, Lim Khim Wah-Low Juan Shen, mudah menjinakkan beregu lelaki KB Serdang, Ong Wei Khoon-Tseng Min Hao, 11-10, 11-9, 11-9 (3-0).

Goh Liu Ying-Yoo Yeon Seong terus menyumbang mata kemenangan kepada KB Puchong United dalam kategori beregu campuran. Mereka mengatasi pasangan KB Serdang, Afiat Yuris-Yap Cheng Wen, 11-5, 11-8, 9-11, 11-3 (3-1).

Dalam kategori terakhir, iaitu perseorangan lelaki, pemain KB Puchong United dari Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk dan Lu Chia Hung, juga terikat 2-2. Mereka menamatkan perlawanan 11-7, 9-11, 6-11, 5-2 dalam tempoh 30 minit masa permainan seperti ditetapkan dalam setiap perlawanan SSPL.

Walaupun keputusan seri sekali lagi dicatatkan dalam pertarungan terakhir kedua-dua pasukanaz, namun ia tidak menggugat KB Puchong United untuk keluar sebagai pemenang perlawanan ini.

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva, mengakui lega dengan kemenangan pertama pasukannya kerana misi utama pasukan adalah layak ke peringkat kalah mati.

"Kami memang meletakkan harapan tinggi untuk menang dalam perlawanan ini kerana ia penting untuk mengutip mata maksimum dalam setiap perlawanan.

"Sasaran utama kami memang untuk layak ke perlawanan kalah mati di Genting Highlands nanti. Jadi, kami perlu menyusun langkah demi langkah dan mengutip mata sekurang-kurangnya menduduki tangga kedua dalam saingan liga untuk terus layak ke separuh akhir saingan SSPL nanti," kata pengurus dari Russia itu.

KB Puchong United mn KB Serdang 12-7

MS2: Chong Wei Feng sr Lee Zii Jia, 2-2 (11-9, 9-11, 11-6, 2-4)
WS: Pan Lu seri sr Chen Hsiao Huan, 2-2 (11-4, 4-11, 11-10, 9-10)
MD: Lim Khim Wah-Low Juan Shen mn Ong Wei Khoon-Tseng Min Hao, 3-0 (11-10, 11-9, 11-9)
XD: Goh Liu Ying-Yoo Yeon Seong mn Afiat Yuris Wirawan-Yap Cheng Wen, 3-1 (11-5, 11-8, 9-11, 11-3)
MS1: Tanongsak Saensomboonsuk sr dengan Lu Chia Hung, 2-2 (11-7, 9-11, 6-11, 5-2)