Pembentukan bakat berkualiti menjadi taruhan Projek 24 Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang turut menjanjikan kilauan pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Projek perintis Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM itu akan mula menilai kualiti pemain kebangsaan bermula Disember depan.

Empat elemen, termasuk keputusan kejohanan dan perkembangan ranking dunia, menjadi penanda aras dalam proses itu.

Pemain yang berada di landasan terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi tidak menepati piawaian yang ditetapkan, akan ditunjukkan jalan keluar daripada kem kebangsaan.

"Pada 31 Disember depan, sesiapa yang tidak mencapai syarat yang ditetapkan, kami akan menyingkirkan mereka.

"Kami perlu menetapkan keputusan yang tegas dan ia juga mungkin akan melibatkan beberapa pemain senior.

"Saya sedar kelayakan ke Sukan Olimpik sudah semakin hampir (ke penghujung), namun ia apa yang kami mahu lakukan demi melangkah ke depan.

"Kami mungkin perlu melakukan perkara luar biasa, kami mungkin terpaksa mempercepatkan perkembangan beberapa pemain yang kami rasakan berpotensi.

"Sistem mengikut peringkat umur mungkin perlu dilupakan dan kami perlu berfikir di luar kotak," kata Setiusaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Penstrukturan semula organisasi kejurulatihan dalam program itu akan diasingkan kepada tiga skuad.

Skuad lelaki akan diketuai oleh Datuk Misbun Sidek manakala skuad wanita pula diletakkan di bawah seliaan Datuk Tey Seu Bock.

Skuad beregu campuran pula dikendalikan Chin Ee Hui.

Selain perkembangan bakat individu, turut ditekankan dalam Projek 24 ialah pembentukan sebuah pasukan yang berupaya mencabar kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas, Piala Uber dan Piala Sudirman.

"Struktur seperti ini juga akan membenarkan lebih fokus dan penekanan terhadap acara berpasukan.

"Walaupun sebelum ini saya pernah berkata (Datuk Lee) Chong Wei akan memberikan kami mata pertama dalam acara berpasukan, Koo (Kean Kiat) dan Tan (Boon Heong) akan memberikan kami mata kedua.

"Kemudian barisan kejurulatihan akan pening kepala untuk mencari mata ketiga.

"(Struktur) ini akan membantu dalam acara berpasukan.

"Setiap empat tahun akan ada Sukan Olimpik dan Piala Thomas, jadi kami mahu fokus kepada acara berpasukan tetapi tidak meminggirkan acara individu dan Sukan Olimpik Tokyo 2020," tambahnya.

Dalam pada itu, bekas jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek, berpandangan keterbukaan dalam Projek 24 sebagai langkah positif bagi mempercepatkan perkembangan pemain daripada skuad remaja ke senior.

Ia merujuk kepada pemain seperti Fazriq Razif yang menampilkan bakat luar biasa bersama skuad remaja negara dan memiliki potensi untuk menjadi bintang masa depan negara.

"Dari zaman saya dahulu lagi sudah buat seperti itu.

"Tetapi selepas itu tidak diterapkan lagi program seperti itu.

"Dengan program seperti ini, pemain muda yang bagus akan dinaikkan terus ke peringkat senior dan saya rasa ia akan memberikan manfaat kepada pemain untuk berkembang dengan lebih cepat.

"Supaya mereka lebih berani dan yakin untuk bermain di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, sedia menjadi wajah utama dalam Projek 24.

Dia yang baru berusia 21 tahun sudahpun berada di kedudukan ranking dunia yang lebih baik berbanding Chong Wei pada usia itu.

Zii Jia, bagaimanapun, menegaskan bebanan untuk memikul cita-cita projek itu harus dikongsi lebih ramai bakat muda dalam kem kebangsaan ketika ini.

"Memang kalau kita lihat (laporan) dalam surat khabar, pasukan Malaysia bukan seperti dahulu.

"Tekanan itu memang akan diletakkan kepada kami.

"Pasukan ini juga merupakan pasukan yang sedang meningkat naik, jadi kami perlu menerima dan menyesuaikan diri dengan apa yang ada sekarang.

"Saya harap tekanan itu akan menjadikan kami lebih kuat.

"Bukan saya sahaja, bahagian lain juga perlu bekerjasama untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.