Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal melaksanakan program kecergasan lebih terperinci bermula Januari 2017.

Tempoh tiga bulan akan diberikan kepada pemain dalam skuad kebangsaan untuk mencapai tahap fizikal dan mental yang memuaskan.

Malah, tidak ada unsur belas kasihan daripada BAM apabila pemain yang dikenal pasti di bawah tahap kecergasan yang optimum akan digantung daripada menyertai tiga kejohanan sehingga kedudukan mereka dikaji semula.

“Mereka harus mengetahui rasional di sebalik program ini. Perkara ini amat bagus buat mereka untuk menjalani gaya hidup yang sihat. Mereka yang gagal akan digantung daripada menyertai tiga kejohanan,” kata Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

“Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan kualiti pemain kerana terdapat segelintir pemain yang enggan mengekalkan tahap kecergasan mereka sehinggalah kami melaksanakan program ini.”

BAM mengumumkan bajet awal RM6 juta bagi tahun depan untuk melaksanakan program dan antara usahanya ialah memantapkan kebajikan atlet yang akan dilindungi di bawah polisi insurans.