Program Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah berhasrat menjadikan ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, sebagai salah seorang pelatih program berkenaan pada musim kedua.

Presiden Sports Affairs, Raezal Hussein, berkata walaupun belum ada sebarang perbincangan diadakan dengan Chong Wei setakat ini, namun pihaknya menanam impian agar tokoh sukan Malaysia itu menyertai barisan legenda badminton negara dalam senarai pelatih program berkenaan.

Program anjuran Akademi Badminton Sports Affairs itu kini membariskan lapan bekas pemain kebangsaan yang menjulang Piala Thomas pada 1992 serta Olimpian yang terdiri daripada Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Bekas pemain perseorangan yang juga legenda badminton negara, Rashid Sidek, turut serta dalam projek mencungkil bakat berkenaan dengan bertindak sebagai pengarah program.

"Kami belum berbincang dengan Datuk (Chong Wei), dengan harapan mungkin pada musim kedua kelak kami dapat berkerjasama dengan beliau.

"Datuk Lee Chong Wei merupakan antara ikon yang paling besar. Bukan sahaja di Malaysia, malah di dunia dan mungkin sedikit-sebanyak beliau sendiri boleh beri banyak pengalaman dan didikan kepada mereka," katanya ketika ditemui dalam sesi klinik kejurulatihan bersempena program Jelajah Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sabah di Putatan, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Raezal berkata Sabah dan Sarawak dipilih sebagai lokasi pemilihan selepas mengambil kira 'limpahan produk' berbakat di kedua-dua negeri itu dalam sukan badminton.

"Hari ini kami memilih Sabah, iaitu salah satu daripada enam lokasi.

"Setelah perbincangan antara barisan jurulatih yang tahu Sabah dan Sarawak mempunyai ramai bakat terpendam, (jadi) kami putuskan untuk memberi peluang kepada pemain di sini," katanya.