Dalam persiapan memburu gelaran Seluruh England, 7-12 Mac nanti, Datuk Lee Chong Wei tetap bersimpati dengan barisan perseorangan lain yang berada di bawah tekanan tinggi untuk menghadirkan kejayaan.

Kejohanan Badminton (GP) Emas Malaysia Masters minggu lalu menyerlahkan kepincangan dalam skuad perseorangan lelaki tanpa kehadiran Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Malah, pengaruh skuad tradisi itu makin tenggelam kepada skuad beregu lelaki dan beregu campuran yang dicanang sebagai masa depan badminton Malaysia.

Perkembangan itu menerbitkan kebimbangan Chong Wei memandangkan pencarian pengganti legasinya semakin suntuk.

"Ada beberapa pemain-pemain muda yang berpotensi tetapi segala-galanya bergantung kepada kemahuan mereka untuk menjadi pemain yang menduduki ranking 10 terbaik dunia," katanya.

Selain Kejohanan Dunia di Glasgow, 21-27 Ogos, yang menjadi keutamaan kempen 2017 Chong Wei, pemain nombor satu dunia itu turut menawarkan pandangan mengapa saingan Siri Super Premier Terbuka Indonesia penting buat dirinya.

"Ini merupakan tahun yang penting buat saya. Kejohanan Seluruh England menjadi misi pertama saya, selepas itu saingan Terbuka Malaysia di Kuching dan Piala Sudirman.

"Saya juga mahu cuba memecah rekod Taufik Hidayat untuk memenangi Siri Super Premier Terbuka Indonesia buat kali ketujuh," tambahnya.