Setelah berakhirnya pusingan kedua Divisyen Satu Purple League Junior (PLJ) 2019 di The Challenger Sports Centre, Ampang, Kelab Badminton Kuantan Synergy (KSBC) terus mendominasi saingan musim ini.

KSBC yang melakar enam kemenangan berturut-turut itu dilihat sukar digugat oleh pasukan-pasukan lain. KSBC mengumpul sebanyak 1,051-905 mata sepanjang enam perlawanan itu.

Namun, mengekori rapat ialah Kelab Badminton Bandar Maharani (BMBC) yang juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah setelah melalui lima perlawanan dengan mengutip sebanyak 905-754 mata.

KSBC tidak boleh terlalu yakin untuk mendakap kejuaraan PLJ 2019 kerana apa saja boleh terjadi dalam pusingan terakhir berikutan saingan yang amat sengit antara pasukan yang bertanding.

Musim lepas, Ampang Jaya Badminton Club (AJBC) mendahului liga memasuki pusingan terakhir, namun mereka terpaksa berputih mata apabila Kelab Badminton Bukit Cheras BC (BCBC) memintas kedudukan mereka di saat-saat akhir lalu berjaya menjulang kejuaraan.

Pasukan dari Muar yang dilatih oleh Yap Kim Heng itu tampil dengan aksi meyakinkan untuk terus berada di landasan terbaik bagi mendapatkan momentum untuk mengejutkan pendahulu liga, KSBC, sekali gus merangkul kejuaraan sulung PLJ 2019.

Perlawanan di antara KSBC dan BMBC bakal menjadi tumpuan tatkala kedua-dua pasukan mempunyai momentum terbaik bagi melengkapkan saingan PLJ sebagai juara liga.

Sementara itu, Kepong BC juga berpeluang muncul juara seandainya mereka berjaya menang bergaya dalam semua baki perlawanan dalam pusingan akhir nanti.

Jurulatih BMBC, Kim Heng, optimis kesemua pemain BMBC telah bersedia untuk berentap dengan KSBC yang dianggap sebagai pasukan pilihan bagi menjulang kejuaraan musim ini.

“Bagi persiapan pusingan akhir PLJ minggu ini, anak-anak buah saya sentiasa fokus untuk merpersiapkan diri bagi menghadapi baki perlawanan di Sports Arena Sentosa kelak. Di atas kertas, KSBC merupakan pasukan pilihan, namun kami akan mencuba sedaya-upaya untuk menewaskan mereka.

“Setiap pemain memainkan peranan masing-masing kerana kami tidak boleh lagi keciciran mata untuk baki tiga perlawanan nanti.” ujarnya.

Bagi saingan Divisyen Dua, Ayer Itam BC (AIBC) masih lagi unggul dengan rekod tanpa kalah sepanjang empat perlawanan tetapi pasukan seperti Klang Rising BC, Desa Petaing BC dan Serdang BC masih lagi berpeluang untuk merebut slot automatik ke Divisyen satu musim depan.

Dalam aksi minggu lepas, AIBC berjaya menewaskan pasukan seperti PGBC dan Serdang BC lalu mengumpul sebanyak 748-642 mata dengan berbaki empat perlawanan lagi.

PLJ 2019 akan melabuhkan tirai hujung minggu ini di Sports Arena Sentosa.