Skuad Piala Uber negara tampil dengan semangat untuk tetap melawan sehingga ke keringat terakhir walaupun Malaysia diundi dalam kumpulan maut.

Juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis menjadi cabaran yang perlu ditangani skuad wanita negara dalam pusingan akhir di Bangkok, 20-27 Mei depan.

Kemenangan ke atas China memerlukan sesuatu yang luar biasa, yang bermakna Malaysia tidak boleh tersungkur di tangan Indonesia dan Perancis dalam kemahuan ke suku akhir.

"Kami masih lagi berpeluang untuk ke suku akhir, kami perlu mempamerkan persembahan cemerlang yang mampu memberikan laluan yang baik buat kami," kata perseorangan wanita negara, Soniia Cheah.

"Cabaran China ternyata amat kuat kerana pemain perseorangan mereka amat berkualiti," kata perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.

Cabaran skuad wanita negara bermula di peringkat persiapan lagi, dengan perubahan ranking menyaksikan Jin Wei kini perseorangan nombor satu negara.

Selain itu, barisan beregu berdepan ketidaktentuan terhadap status kecederaan pemain tonggak seperti Woon Khe Wei dan Lee Meng Yean.

"Saya berasakan kami sudah mula membuat persiapan menghadapi aksi yang sukar, apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan," kata Soniia.