Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, menangkis tohmahan pengkritik dengan memperagakan aksi meyakinkan ketika perlawanan Malaysia menentang India dalam Piala Sudirman semalam ketika segelintir pihak berasakan kehadirannya ke Nanning, China sekadar sebagai pelancong.

Pemain yang berasal dari Kedah itu menyedari tanggungjawab dipikulnya selaku harapan dalam perseorangan lelaki selepas ketiadaan jaguh utama, Datuk Lee Chong Wei, yang masih dalam proses pemulihan daripada kanser hidung.

Selepas longlai dibelasah jaguh China, Shi Yuqi, dalam perlawanan pembukaan, Zii Jia membuat persiapan rapi untuk menentang India dan usahanya berbaloi apabila berjaya mendapat rentak semula dalam gelanggang di samping mencipta kejutan menyingkirkan pemain ke-13 dunia, Sameer Verma, untuk menghadiahkan satu mata berharga buat negara ketika pertemuan semalam.

Ia juga isyarat jelas dia masih yang terbaik dimiliki Malaysia pada saat ini dan sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

"Saya mengetahui kritikan terhadap diri saya. Kemenangan ini melegakan dan saya berjaya membuktikan mereka kebolehan sebenar saya," katanya.

Zii Jia juga sudah mula menyesuaikan diri tanpa bimbingan mentornya, Datuk Misbun Sidek, di tepi gelanggang sambil dibantu pembantu jurulatih, Indra Wijaya, dan juga pengarah kejurulatihan, Wong Choong Hann.

"Saya akan cuba menampilkan persembahan terbaik dalam saingan Piala Sudirman. Kami akan cuba sebaik mungkin untuk melakar kemenangan."

Sementara itu, perseorangan lelaki profesional, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menyifatkan kritikan tidak masuk akal daripada penyokong sebagai pemusnah utama keyakinan pemain muda negara.

Sebaliknya, apa yang diperlukan pemain negara seperti Zii Jia dan skuad Piala Sudirman adalah keyakinan dan pandangan membina daripada peminat badminton tanah air.

"Zii Jia masih lagi muda dan dia telah mula menampilkan permainan yang berkualiti. Saya berpendapat kritikan yang lebih wajar dan matang supaya menjadi pemangkin buat pemain-pemain negara," katanya.

Iskandar yang pernah membarisi skuad Piala Thomas 2016 dan 2018 negara berasakan skuad Piala Sudirman kali ini tetap ada watak pemimpin dalam ketiadaan Chong Wei untuk menjadi taruhan semangat dalam suku akhir nanti.

"Saya nampak Teoh Ee Yi memiliki perwatakan yang membantu pasukan meningkatkan mutu persembahan, aksi yang dipamerkan telah memberi semangat kepada pemain-pemain lain."