Ketua pasukan, Goh Soon Huat, serta penolongnya, Chow Mei Kuan, bersiap sedia untuk memimpin skuad negara dalam saingan Piala Sudirman, di Nanjing, China, selama seminggu bermula Ahad ini.

Soon Huat, yang akan membuat penampilan pertama dalam Piala Sudirman, yakin rakan sepasukannya sudah bersedia untuk menghadapi juara 10 kali, China, serta pasukan yang meningkat naik, India.

"Setiap pemain adalah penting untuk kami bersatu sebagai sebuah pasukan.

"Saya akan cuba menyatukan pasukan ini," katanya.

Dalam pada itu, Mei Kuan yakin moral pasukan berada di tahap terbaik walaupun skuad negara berada dalam kumpulan yang dilabel "kumpulan maut"

"Saya ingin menonjolkan semangat juang dan akan sentiasa memberikan dorongan, termasuk ketika pemain sedang beraksi atau tidak.

"Kami mahu berikan yang terbaik untuk membawa pulang kejayaan," ujar Mei Kuan.

Dua tahun lalu di Gold Coast, Australia, perjalanan skuad Malaysia terhenti di peringkat suku akhir selepas tunduk kepada Jepun.

Skuad negara tidak pernah menjuarai Piala Sudirman sejak ia diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah kemaraan ke separuh akhir dalam edisi 2009 di Guangzhou, China.