Piala Sudirman: Peng Soon-Liu Ying mungkin tidak tersenarai

By Staff Writer 23 April 2019 831
Piala Sudirman: Peng Soon-Liu Ying mungkin tidak tersenarai
Kebangkitan semula beregu campuran badminton negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, dalam kelompok 25 beregu terbaik dunia menyulitkan peluang gandingan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, untuk tersenarai dalam kempen Piala Sudirman di Nanning, China, 19-26 Mei ini.

Kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan Kian Meng-Pei Jing melonjak ke tangga ke-21 dunia.

Ia selepas penampilan gandingan itu dalam separuh akhir Kejohanan Terbuka Malaysia dan final Terbuka Singapura sepanjang bulan ini.

Dasar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang memberikan penegasan kepada pemilihan pemain lebih muda, mungkin akan membantu Kian Meng-Pei Jing tersenarai ke kejohanan di Pusat Sukan Guangxi itu di samping rakan sepelatih, Goh Soon Huat-Shevon Lai -- ranking ke-13 dunia.

Bagaimanapun, status sebagai gandingan terbaik Malaysia kekal menjadi milik Peng Soon-Liu Ying selaku beregu di ranking kelima dunia.

"Memandangkan prestasi gandingan di bawah kendalian BAM semakin baik, saya dan Liu Ying mungkin tidak perlu beraksi dalam Piala Sudirman.

"Ia masih tidak pasti lagi dan sekiranya mereka melakukan pemilihan yang adil, saya dan Liu Ying sepatutnya akan tersenarai dalam pasukan," kata Peng Soon.

Peng Soon lebih mahu melihat kepada aspek positif dalam misi jangka panjang bersama Liu Ying. 

Pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan bermula dengan Terbuka New Zealand, hujung bulan ini.

"Boleh dikatakan ketiga-tiga gandingan campuran negara kini amat bagus.

"Sewaktu kelayakan ke Sukan Olimpik Rio 2016, kehadiran Kian Meng dan Pei Jing banyak membantu kami untuk bekerja keras.

"Ia persaingan yang sihat," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment