Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, masih berteka-teki dengan kemungkinan penampilan Datuk Lee Chong Wei dalam Piala Sudirman ketika tarikh tutup penyerahan senarai pemain semakin hampir.

Tahap kecergasan Chong Wei pasca rawatan kanser hidung masih menjadi tanda tanya.

Ini di sebalik dia meningkatkan keamatan latihan di dalam gelanggang.

Bekas pemain nombor satu dunia itu menyuarakan rasa terkilan kerana tidak mendapat lampu hijau daripada pakar perubatan untuk beraksi dalam Seluruh England dan Terbuka Malaysia sebelum ini.

"Kami enggan menekan Chong Wei untuk segera kembali mewakili negara. Kami memberi ruang kepada Chong Wei untuk benar-benar mendapatkan tahap kecergasan terbaik sebelum membincangkan mengenai kejohanan yang perlu disertai," tambahnya.

Misbun turut menegaskan mengapa Lee Zii Jia akan terus diberikan perhatian di sebalik prestasi tidak menentu yang membabitkan gangguan luaran.

Sebagai pemain nombor satu Malaysia, Zii Jia pasti berada dalam senarai ke Piala Sudirman yang perlu diserahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selewat-lewatnya 3 Mei ini.

"Saya melihat daripada setiap aspek kepada pemain-pemain dalam sesi latihan. Tekanan yang diberikan serta tahap kesukaran dalam latihan dihadapi oleh pemain negara adalah sangat penting untuk mereka memperbaiki mutu persembahan."