Tugas berat menanti barisan negara untuk mencongak strategi terbaik apabila diundi bertemu pasukan pilihan, Jepun, di peringkat suku akhir Piala Sudirman 2019 yang dijadualkan berlangsung esok.

Setelah melayakkan diri ke kelompok lapan terbaik susulan kejayaan menundukkan India di peringkat kumpulan, kem kebangsaan menanti penuh debar proses undian suku akhir yang berlangsung semalam.

Undian suku akhir menyaksikan Malaysia tidak bernasib baik apabila diundi bertemu pilihan kedua kejohanan, Jepun.

Di atas kertas, Malaysia semestinya bukan pilihan berbanding pasukan Negara Matahari Terbit itu memandangkan mereka menduduki ranking lebih baik tetapi skuad negara bertekad untuk mencipta keajaiban dan melakar kejutan.

“Mereka memang salah satu pilihan dalam Piala Sudirman edisi kali ini tetapi kami tetap akan cuba memberikan persaingan terbaik. Saya rasa ini satu peluang untuk pemain negara mempamerkan aksi terbaik,” kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

“Ia tidak mudah. Mungkin kami memiliki peluang lebih cerah tetapi Malaysia tetap mempunyai barisan pemain yang bagus. Walaupun tewas 5-0 ketika berdepan China, namun aksi beregu campuran dan perseorangan wanita jelas begitu sengit. Mereka juga menewaskan India,” ujar ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong.