Gergasi badminton, China, tidak mengambil mudah pertemuan dengan Malaysia dalam aksi pembukaan Piala Sudirman 2019 esok tatkala kelibat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, tidak kelihatan dalam sesi latihan terakhir hingga mencetus persoalan sama ada pemain itu kembali dihantui kecederaan.

Skuad Malaysia menjalani sesi latihan terakhir di Dewan Pusat Sukan Guangxi, Nanning sambil tiada kelibat Jin Wei yang menyaksikan jurulatih, Datuk Tey Seu Bock, hanya melakukan rutin latihan bersama seorang lagi pemain, Soniia Cheah.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya memandangkan Jin Wei sebelum ini terpaksa berehat selama enam minggu ekoran kecederaan paha sehingga terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka New Zealand.

Bagaimanapun, Seu Bock menjelaskan Jin Wei diletakkan dalam program latihan khas secara individu apabila pemain remaja itu sudah pun menjalani latihan penuh ketika sesi ujian gelanggang semalam.

"Semalam Jin Wei melalui latihan yang agak keras, jam 9 pagi sehingga tengah hari. Jadi, saya ubah sedikit untuk hari ini bagi membolehkan dia pulih," katanya.

Seu Bock juga berpuas hati dengan keadaan gelanggang kejohanan dan pemainnya dilihat sudah boleh membaca pergerakan angin, namun pengendali itu tidak menolak andaian untuk menurunkan Soniia menjelang perlawanan dengan China sambil merehatkan Jin Wei sebagai persiapan sebelum menentang India, Selasa depan.

"Saya ada fikir begitu tetapi masih belum membuat keputusan. Kami dalam barisan kejurulatihan akan bincangkan perkara ini kerana ia adalah acara berpasukan," tambah Seu Bock.

China turun untuk menebus kekalahan mereka dua tahun lalu di Gold Coast, sekali gus mencari kejuaraan ke-11 mereka dalam kejohanan.

Laluan tampak mudah buat tuan rumah itu apabila bukan sahaja diletakkan sebagai pilihan utama dalam Kumpulan 1D bersama Malaysia dan India, malah mereka juga membariskan bintang utama yang cukup ampuh diterajui Chen Long.

Namun, ketua jurulatih perseorangan lelaki China, Xia Xuanze, tidak mahu sifat terlalu yakin itu memakan diri dengan menyifatkan perlawanan pembukaan menentang Malaysia sebagai aksi penting bagi membentuk hala tuju mereka dalam saingan kali ini.

“Skuad Malaysia kali ini hadir dengan ramai pemain muda bagi perseorangan lelaki, wanita serta beregu lelaki, jadi bukan tugas yang mudah juga untuk kami jika mahu melakar kemenangan menentang mereka esok,” kata Xuanze.

Dalam masa sama, China juga tidak khuatir dengan perang psikologi Malaysia yang berkemungkinan akan menukar pasangan bagi acara beregu lelaki, wanita serta campuran.

“Saya sudah melupakan kekalahan di pentas final dua tahun lalu. Tahun ini kami hadir dengan pasukan yang lebih baik dan saya percaya kami akan berjaya mendapatkan kejayaan di laman sendiri,” tambah pemain beregu wanita China, Jia Yi Fan.