Sebahagian peserta yang berjaya menempatkan diri dalam senarai akhir ke Kem Badminton Astro di Jepun diiringi berita gembira apabila berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Poopathi Velayutham dan Goh Shuen Tong mendapat keputusan tujuh 'A' dan satu 'B'sebelum mereka berangkat ke Pusat Latihan Kebangsaan Jepun, Tokyo, sejak 20 November lalu.

"Akademik dan ko-kurikulum kedua-duanya sama penting kerana akan diambil kira semasa temuduga memasuki universiti.

"Selain itu, aktiviti ko-kurikulum akan membuatkan badan kita sihat dan cergas," ujar Poopathi.

Bagi Shuen Tong, kepadatan jadual harian bukanlah penghalang untuknya berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR yang lalu.

"Pada sebelah pagi, saya akan ke sekolah sehingga 3.30 petang sebelum mengikuti sesi latihan sampai pukul 7 malam.

"Kemudian saya akan mengulangkaji pelajaran sehingga jam 10 malam."