Datuk Lee Chong Wei kini merenung nasib malang tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Seluruh England bulan depan kerana mengalami kecederaan serius di lutut kirinya.

Sekalipun baru beroperasi, Akademi Badminton Malaysia telah memberikan mimpi buruk buat pemain persorangan nombor satu dunia itu.

Permukaan gelanggang badminton di akademi itu dikatakan licin dan menyukarkan pergerakan beberapa pemain negara ketika sesi latihan, dan terkini ia sudah pun ditukar selepas kejadian yang menimpa Chong Wei.

Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, Chong Wei berasakan perkara utama adalah tumpuan terhadap program pemulihannya yang memakan masa lima hingga enam minggu.

"Yang penting sekarang, saya perlu memulihkan kecederaan ini," kata Chong Wei, yang disahkan mengalami kecederaan ligamen kolateral medial (MCL). "Saya yakin akan kembali lebih kuat selepas ini."

Turut melahirkan kegusaran adalah rakan sepasukan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang menyaksikan sendiri insiden Chong Wei mendapat kecederaan di gelanggang baru itu.

"Ketika itu semua tertumpu ke arah Chong Wei. Selepas dia terjatuh, situasi agak cemas juga kerana kami menganggapnya sebagai kapten di sini. Saya harap kecederaannya tidak mengambil masa terlalu lama," katanya.

Chong Wei sentiasa diselubungi kecederaan sejak 2012 tetapi pada tahun ini, dia bergelut dengan kecederaan lutut yang menyaksikan dia tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Seluruh England, bulan depan.