Penyertaan Chong Wei akan dikurangkan -- Hendrawan

By Staff Writer 18 December 2016
Penyertaan Chong Wei akan dikurangkan -- Hendrawan
Kegagalan kempen Datuk Lee Chong Wei dalam Siri Super Akhir di Dubai menandakan waktu jaguh itu memburu setiap kejohanan sudah tidak relevan, sebelum misi sebenar, iaitu Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, Scotland, 21-27 Ogos tahun depan.

Pada usia 34 tahun, bukan mudah buat atlet elit seperti Chong Wei, apatah lagi individu biasa untuk mengatasi proses pemulihan kecederaan dalam tempoh segera.

Kekalahan kepada pemain Korea Selatan, Son Wan Ho, dan bintang Denmark berusia 22 tahun, Viktor Axelsen, dalam kejohanan itu bukan petanda dia tidak mampu bersaing dengan lawan lebih muda.

Sebaliknya, ia menegaskan keperluan menguruskan tahap kecergasan fizikal dan mental menghadapi sesuatu kejohanan.

"Sekarang, prestasi pemain muda semakin naik. Ini tugas berat buat saya di masa depan. Saya harus tahu bagaimana untuk memperbetulkan teknik, mengurangkan kecederaan dan juga mengenai aspek pemulihan.

"Saya tidak boleh kurangkan latihannya kerana jika Chong Wei mahu bermain tahun depan dalam Kejohanan Dunia, kami mesti perlu pandai menyesuaikannya," kata jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan. 

Hendrawan juga berasakan adalah satu keperluan untuk mengurangkan jumlah penyertaan Chong Wei di sebalik kemahuan jaguh itu untuk cuba mencabar setiap kejuaraan ditawarkan.

Malah, katanya, Chong Wei tidak akan mempertahankan gelaran Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Malaysia Masters bulan depan, dengan kitaran kejohanan Chong Wei bagi musim 2017 hanya akan bermula di Seluruh England.

"Pertama, Chong Wei akan bermula dalam Seluruh England. Selepas itu di India (Terbuka India), kerana dia akan mengikut kontraknya, selepas itu Malaysia (Terbuka Malaysia) sudah tentu, kemudiannya Kejohanan Dunia. 

"Mungkin juga Piala Sudirman. Yang lain mungkin sudah kurang. Saya harap kami cuba sekali lagi dalam Kejohanan Dunia dengan masa yang masih ada ini," tambah Hendrawan. 

Chong Wei tersingkir daripada saingan Siri Super Akhir selepas tewas kepada Axelsen, 12-14, 14-21, 19-21, dalam aksi terakhir Kumpulan B di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai, kelmarin.
 

About Author

Staff Writer

Comment