Kejohanan badminton peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Ulu Kinta, Perak, dari 19 hingga 25 Februari ini bakal disertai ramai pemain elit negara.

Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid, mengesahkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Goh Jin Wei serta pasangan beregu campuran, Tan Kin Meng-Lai Pei Jing, turut mengambil bahagian.

"Selepas beberapa tahun mengadakan dua sirkit kebangsaan serta sirkit divisyen satu dan dua, kami mendapati perlunya kejohanan-kejohanan ini dipertingkatkan lagi.

"Itu tujuan penganjuran kejohanan ini," kata Al-Amin.

Ditanya pemilihan Ulu Kinta sebagai venue kejohanan, BAM memberi jaminan segala kemudahan logistik berada di tahap terbaik.

Jelasnya, ia sebagai salah satu usaha mempromosikan badminton kepada masyarakat di luar Lembah Klang dengan cara positif.

"Salah satu sebabnya kami memilih negeri-negeri tertentu, kami berharap ia menjadi wadah.

"Kami mendapati penganjuran Kejohanan Grand Prix Masters di Sibu baru-baru ini mendapat sambutan hangat kerana kami memberi peluang kepada peminat di negeri lain untuk menonton aksi pemain kebangsaan kita."