Status sebagai pemain senior tidak menghalang Chan Peng Soon daripada terus menyusuri pengalaman baru sepanjang musim 2017.

Dia akan membawa bekalan berharga untuk misi mengembalikan status sebagai antara beregu campuran terbaik dunia bersama Goh Liu Ying tahun depan.

Bermula dengan seribu harapan buat Peng Soon pada tahun ini apabila hampir memenangi gelaran Seluruh England, sehinggalah Liu Ying terpaksa menjalani pembedahan dan pemulihan kecederaan bahu, ia menyaksikan perwatakan Peng Soon diuji.

Bukan sahaja terlepas peluang memburu kejuaraan tetapi keperluan membimbing gandingan muda seperti Peck Yen Wei dan Cheah Yee See.

"Tahun ini, saya banyak membantu pemain junior, termasuk daripada segi mental.

"Walapun tiada Liu Ying di sini, saya banyak bekerjasama dengan jurulatih untuk membantu pemain muda beraksi dengan lebih baik," katanya.

Ketiadaan Peng Soon dan Liu Ying bagi sebilangan besar kejohanan tahun ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan dua lagi beregu senior, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing, serta Goh Soon Huat dan
Shevon Lai.

Peng Soon, selaku antara perintis program skuad kebangsaan, tidak berselindung di sebalik rasa bangga sebagai pemain senior.

Malah, dia menjangkakan persaingan sihat untuk memartabatkan lagi beregu campuran Malaysia pada tahun depan.

"Saya dan Liu Ying akan kembali tahun depan. Saya rasa pasukan akan melihat kami sebagai pemain senior yang masih berada di depan, jadi ia menjadi semangat kepada semua untuk bekerjasama," ujarnya.


Chan Peng Soon & Cheah Yee See

Ranking dunia: No. 21

Pencapaian terbaik:

• Juara Kejohanan Badminton Grand Prix Russia
• Gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017
• Separuh Akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea 2017
• Separuh Akhir Kejohanan Badmitnon Grand Prix Vietnam 2017
• Suku Akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Australia 2017

Chan Peng Soon & Goh Liu Ying

Ranking dunia: No. 57

Pencapaian terbaik:

• Naib Juara Seluruh England 2017
• Naib Juara Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2016
• Juara Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand 2016
• Perak Sukan Olimpik 2016
• Naib Juara Sukan SEA Singapura 2015
• Juara Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2012