Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon, mengakui teruja bergandingan dengan Lee Hyo Jung selepas membantu pasukannya, Kelab Badminton (KB) Muar, untuk kembali berada dalam kelompok enam pasukan teratas dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini.

Dalam perlawanan keenam hari ini, Peng Soon-Lee Hyo Jung membawa pasukan KB Muar menang besar mengatasi KB Klang City, 15-1, di Stadium Badminton Cheras.

"Saya memang teruja bermain dengan Lee Hyo Jung yang mempunyai banyak pengalaman dalam sukan badminton. Dia juga bermain habis-habisan, jadi mudah untuk saya berpasangan dengan dia untuk menang.

"Saya harap selepas ini, kalau boleh kita mahu layak bermain di Genting Highlands untuk peringkat kalah mati. Saya menyasarkan sekurang-kurangnya dapat membantu KB Muar muncul naib juara kejohanan Purple League kali ini,” kata Peng Soon.

Dalam pertarungan perseorangan lelaki pertama, KB Muar berjaya mengutip mata awal selepas pemainnya, Zulfadli Zulkiffli, menang mudah ke atas KB Klang City yang diwakili pemain remaja negara, Leong Jun Hao, 11-6, 11-1, 11-6 (3-0).

Pemain import KB Muar dari Jepun, Saena Kawakami, terus membawa pasukannya selesa selepas menewaskan peserta KB Klang City, Nanna Alaxendra, 11-7, 11-8, 11-2 (3-0), dalam kategori perseorangan wanita.

KB Muar terus garang dalam kategori beregu lelaki. Gandingan Hoon Thien How-Teo Ee Yi sekali lagi menang mudah, 11-5, 11-7, 11-6 (3-0), ke atas pasangan KB Klang City, Low Hang Yee-Muhammad Safiyuddin.

Selepas itu, gandingan Lee Hyo Jung-Chan Peng Soon terus membantu KB Muar memungut mata dalam beregu campuran. Mereka mengatasi pasangan KB Klang City, Chin Kah Mun-Hoo Pang Ron, 11-8, 11-3, 11-10 (3-0).

Dalam kategori perseorangan lelaki terakhir, seorang lagi pemain dari Korea Selatan, Lee Hyun Il, mengekalkan rekod kemenangan bersihnya dalam SSPL kali ini. Dia yang mewakili KB Muar menang, 11-4, 11-10, 9-11, 11-2 (3-1), ke atas lawannya, Chin Wai Kin, dari KB Klang City.

Keputusan:

KB Klang City kk KB Muar, 1-15

MS2: Leong Jun Hao kk Zulfadli Zulkiffli, 0-3 (6-11, 1-11, 6-11).

WS: Nanna Alexandra Vainio kk Saena Kawakami, 0-3 (7-11, 8-11, 2-11).

MD: Low Hang Yee-Muhammad Sufiyuddin kk Hoon Thien How-Teo Ee Yi, 0-3 (5-11, 7-11, 6-11).

XD: Chin Kah Mun-Hoo Pang Ron kk Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung, 0-3 (8-11, 3-11, 10-11).

MS1: Chin Wai Kin kk Lee Hyun Il 1-3 (4-11, 10-11, 11-9, 2-11).