Pemain beregu campuran nombor satu negara, Chan Peng Soon, tetap melihat kebangkitan gandingan lebih muda sebagai saingan meskipun membantu meringankan bebannya bersama Goh Liu Ying sebagai harapan utama Malaysia.

Tahun 2017 mula menampakkan peningkatan dalam prestasi beregu campuran negara, dengan Peng Soon-Liu Ying kekal sebagai gandingan nombor satu negara.

Tetapi kebangkitan turut dipamerkan oleh Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas menjuarai GP Emas Masters Malaysia menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Peng Soon melihat pencapaian dua pasangan beregu campuran berkenaan memberi ruang buatnya bersama Liu Ying untuk terus memberikan yang terbaik bagi mengekalkan status sebagai pilihan nombor satu Malaysia.

"Saya sangat bangga dengan prestasi Kian Meng-Pei Jing dan Soon Huat-Shevon Lai dalam GP Emas Masters. Peningkatan mereka mampu membantu kami untuk terus meningkatkan mutu permainan kami," jelasnya.

Bagaimanapun, Peng Soon terpaksa menjalani latihan tanpa kelibat Liu Ying yang masih menjalani proses pemulihan kecederaan lutut dan perlu mengembalikan tahap prestasi terbaik mereka untuk beraksi dalam Kejohanan Seluruh England pada Mac.

"Sukar buat Liu Ying kerana dia perlu berehat selama empat hingga enam minggu untuk pulih sepenuhnya. Kami berharap dapat menghasilkan aksi cemerlang di Seluruh England, Mac nanti."