Harapan beregu campuran negara, Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying untuk menambah koleksi trofi dengan kejuaraan Seluruh England tidak kesampaian apabila tewas dalam final, hari ini.

Pasangan negara itu tewas kepada wakil China dan pilihan kelima kejohanan, Lu Kai dan Huang Yaqiong dalam aksi tiga set.

Peng Soon-Liu Ying memulakan aksi dengan mantap untuk menang set pertama 21-19.

Bagaimanapun, memasuki set kedua, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu gagal mengekang kebangkitan pasangan China.

Meskipun mendahului 16-14 pada suatu ketika, mereka bergelut untuk kekal konsisten, sekaligus tewas 19-21.

Lu Kai-Huang Yaqiong meneruskan kecemerlangan dalam set ketiga untuk mengesahkan kemenangan China dengan keputusan 21-16.

Peng Soon mengakui dia turun dengan harapan untuk muncul juara, namun keputusan umpire mengganggu fokusnya.

"Saya ingat mampu muncul juara, tetapi keputusan umpire tidak menyebelahi kami kali ini," ujarnya.

Sementara itu, Liu Ying akur dengan kekalahan tersebut dan kesal kerana melakukan beberapa kesilapan mudah.

"Saya ada melakukan beberapa kesilapan dan sepatutnya kesilapan itu tidak dilakukan, terutama dalam aksi final."