Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, meneruskan kemaraan dalam Terbuka Korea Selatan selepas menundukkan gandingan tuan rumah dalam aksi straight sets dalam pusingan kedua di Seoul, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengambil masa 36 minit untuk menewaskan Kim Duk Young-Kim Hye Rin 21-17, 21-16.

Sementara itu, gandingan lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, turut mempamerkan aksi bertenaga dengan mengatasi pasangan dari England, juga menerusi straight sets.

Mereka menewaskan Peter Briggs dan Tom Wolfenden 21-17, 21-16 dalam tempoh 31 minit.

Aksi wakil negara seterusnya, termasuk perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain, yang akan berdepan perseorangan China, Qiao Bin.

Turut beraksi petang ini beregu kedua lelaki negara, Teo Kok Siang dan Hoon Thien How, yang akan menentang pasangan China.