Setelah 60 tahun lamanya, Malaysia akhirnya boleh berbangga dengan pencapaian beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang melakar sejarah mara ke perlawanan akhir Kejohanan Seluruh England.

Kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir acara beregu campuran adalah menerusi mendiang Datuk David Ewe Choong pada tahun 1953, namun gandingannya ketika itu adalah wakil England, June White.

Oleh itu, Peng Soon dan Liu Ying boleh diibaratkan gandingan Malaysia yang pertama mara ke final setelah berpuluh tahun Malaysia ketandusan wakil dalam acara tersebut.

Ia bagai satu kejutan apabila mereka berjaya menumpaskan pasangan Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino, di peringkat separuh akhir semalam.

"Permainan kami memberikan kelebihan terhadap corak permainan mereka, jadi itu menyebabkan kami tidak berdepan sebarang tekanan," jelas Peng Soon.

Paling ketara, mereka memperbaiki kelemahan utama apabila terus merebut mata dalam set pertama dan tidak memberikan mata mudah kepada pihak lawan.

Liu Ying mengakui pihak lawan juga gagal mengekalkan rentak mereka, dengan berkata: "Mereka tidak dapat mengekalkan permainan mereka, sebaliknya termakan dengan corak permainan kami."