Jaguh beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, diberi tentangan hebat oleh pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen dan Sara Thygesen, sebelum melakar kemenangan dalam set penentuan untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Korea.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu mengungguli set pertama 21-14 sebelum gandingan Denmark itu kembali merampas set kedua 14-21.

Memasuki set ketiga, Peng Soon dan Liu Ying meninggalkan jauh pasangan Denmark itu 11-4, namun berjaya dikejar sehingga terikat 19-19.

Enggan cemas dengan situasi itu, pasangan negara memperkemaskan permainan mereka dan berjaya memberi tekanan sehingga menyebabkan Sara membuat kesilapan di jaring.

Hasilnya, skuad negara berjaya melangkah separuh akhir selepas berhempas-pulas selama hampir satu jam.