Penat beraksi di Olimpik punca prestasi Vivian, Khe Wei merudum

By Staff Writer 2 November 2016
Penat beraksi di Olimpik punca prestasi Vivian, Khe Wei merudum
Pemain beregu wanita nombor satu negara, Vivian Hoo Kah Mun, ingin melupakan kekecewaan kempen di Eropah dalam misi untuk ke Siri Super Final di Dubai hujung tahun ini.

Kempen positif Vivian dan gandingannya, Woon Khe Wei, ketika Sukan Olimpik Rio tidak berupaya diteruskan dalam Siri Super Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Pasangan itu tersingkir pada pusingan pertama di Odense sebelum terkeluar pada pusingan kedua di Paris, dengan tiket ke Dubai begitu hampir buat gandingan ini yang berada di kedudukan kesembilan dalam senarai ranking Siri Super.

Aksi final pada hujung tahun nanti hanya menempatkan kelompok lapan pemain terbaik dari setiap kategori.

“Kami agak keletihan dari segi mental dan fizikal selepas tamat Sukan Olimpik, itu merupakan punca kami gagal mempamerkan aksi yang cemerlang di Eropah,” kata Vivian.

Oleh itu, Vivian dan Khe Wei perlu sekurang-kurangnya layak ke suku akhir dalam dua Siri Super Terbuka China dan Terbuka Hong Kong bagi mencerahkan peluang ke Siri Super Final. 

“Kami berada di tempat kesembilan dalam ranking Siri Super. Kami perlu memberikan yang terbaik dalam baki aksi Siri Super untuk beraksi di Dubai nanti.” katanya.

About Author

Staff Writer

Comment