Pemain beregu negara, Chen Tang Jie, mahu menjadikan Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia sebagai penanda aras kemampuan beraksi dengan pemain senior meskipun tidak beraksi dalam acara utama.

Tang Jie dinaikkan pangkat selaku pemain senior tahun ini selepas menutup karier remajanya dengan cemerlang tahun lalu.

Ia termasuk pingat gangsa acara beregu campuran bersama Toh Ee Wei dalam Kejohanan Remaja Dunia.

Selain itu, dia bersama Man Wei Chong menjuarai acara beregu lelaki Kejohanan Remaja Bawah 19 Tahun yang berlangsung di Terengganu.

Bagi cabaran di Sibu nanti, Tang Jie hanya layak beraksi dalam saingan beregu campuran tetapi itu tidak menyekat kemahuannya untuk mencipta kejutan ketika berdepan pemain senior.

"Dalam tahun pertama saya sebagai pemain senior, saya harap dapat memenangi siri kejohanan antarabangsa memandangkan ranking pemain dalam saingan GP adalah lebih tinggi.

"Tahap mereka juga lebih tinggi daripada kami, maka saya akan memberikan aksi terbaik saya," katanya.

Dalam pada itu, Wei Chong berharap dapat terus membuktikan kemampuan dalam tahun terakhirnya sebagai pemain remaja tahun ini.

"Tahun lepas ketika beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia, terdapat banyak pencabar yang hebat-hebat.

"Sasaran saya adalah untuk mengatasi tahap permainan mereka.

"Untuk itu, saya perlu bekerja keras dalam sesi latihan," katanya ketika ditemui dalam majlis bertemu peminat anjuran Petaling BC di Cheras.