Pemain di bawah Projek Asia Olimpik (AOP) kendalian Badminton Asia mempunyai kualiti yang mampu dikembangkan meskipun negara yang mereka wakili bukan kuasa besar dalam sukan badminton.

Selepas beberapa hari menjalani latihan, bekas pemain kebangsaan, Lee Wan Wah, dapat melihat pemain-pemain ini memiliki kualiti yang boleh dibentuk untuk menjadi lebih baik.

AOP merupakan salah satu inisiatif pembangunan pemain oleh Badminton Asia selaras dengan pelan strategik empat tahun badan induk berkenaan.

Program ini membantu pemain berkenaan didedahkan kepada pertandingan bertaraf antarabangsa dengan sasaran utama merebut tempat dalam kejohanan dunia serta Sukan Olimpik.

Ia termasuk menawarkan biasiswa pertandingan dan peluang latihan kepada pemain dari negara membangun.

Malaysia menjadi salah satu lokasi latihan dengan ia dikendalikan oleh bekas pemain kebangsaan seperti Lee Wan Wah, Chan Chong Ming, Wong Choon Han serta Rashid Sidek.

Seramai 12 pemain dan dua jurulatih mengambil bahagian, antaranya pemain dari Iran, Jordan, Syria serta Sri Lanka bagi menjalani sesi selama dua minggu ini.

Ia merupakan sebahagian persiapan mereka untuk menghadapi pertandingan Siri Antarabangsa Nepal yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Disember ini.

"Mereka ada ruang untuk diperbaiki. Mereka bermain jauh lebih baik daripada jangkaan awal saya.

"Ini adalah peluang untuk mereka meningkatkan prestasi," jelas Wan Wah.