Bekas jurulatih perseorangan badminton negara, Rashid Sidek, menyarankan supaya barisan pemain muda negara berani meletakkan sasaran lebih mencabar buat diri sendiri dalam usaha untuk berada pada tahap yang lebih tinggi.

Bagi Rashid, kegagalan pemain perseorangan untuk keluar dari zon selesa adalah antara punca mengapa skuad negara kini terus bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei dalam saingan perseorangan lelaki.

Bekas perseorangan utama negara itu turut berasakan barisan pemain muda yang ada ketika ini terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian yang diraih, sekaligus menyekat perkembangan mereka.

"Pemain kita tidak memaksa diri mereka untuk berlatih lebih keras lagi di samping tidak memasang hajat besar," katanya.

Rashid berasa Malaysia sebenarnya sentiasa mempunyai bakat berpotensi di peringkat remaja, namun apabila melangkah ke tahap senior, prestasi mereka semakin menurun dan pencabar dari negara lain pula semakin meningkat.

Antaranya, Zulfadzli Zulkifli yang pernah bergelar juara remaja dunia pada 2011 sebelum mengalami kemerosotan prestasi selepas itu.

"Pemain perlu memiliki mental lebih kuat untuk menghadapi latihan keras serta pertandingan yang lebih sengit," tambahnya.