Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, mengeluarkan amaran penyingkiran buat perseorangan lelaki daripada skuad kebangsaan sekiranya gagal memperbaiki kedudukan ranking dunia berdasarkan program yang sudah ditetapkan.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Goh Soon Huat merupakan pemain senior yang berada dalam pemantauan ketat Frost berdasarkan usia mereka, 25 dan 26 tahun.

Sementara itu, perseorangan seperti Soon Huat, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven serta Chong Yee Han, memiliki tempoh maksimum selama dua tahun untuk membuktikan kemampuan sebagai penerus legasi Datuk Lee Chong Wei.

Jurang kualiti pemain muda negara dan kuasa besar dunia lain seperti China dilihat ketara apabila Negara Tembok Besar itu memiliki lapan pemain dalam kelompok 50 pemain terbaik dunia berbanding tiga yang dimiliki skuad negara ketika ini.

"Ia tugas harian di mana kami menghantar pemain ke luar menyertai pertandingan.

"Pemain yang dalam lingkungan 21-23 tahun yang sudah beberapa tahun bersama kami, tidak bermain sebaik pemain China.

"Kami akan mengadakan perbincangan serius sama ada mereka mampu kekal dalam program yang diaturkan atau tidak," tegas beliau.

Antara contoh terbaik China dalam mementingkan kualiti adalah menerusi persaraan Wang Zhengming daripada program kebangsaan mereka -- pemain yang pernah dicanangkan sebagai pengganti Lin Dan walaupun hanya berusia 26 tahun.

Mereka juga tidak teragak-agak untuk menggugurkan pemain berstatus bintang seperti perseorangan wanita, Wang Yihan dan Wang Shixian, tetapi masih berupaya memenangi tiga gelaran Siri Super Terbuka Jepun menerusi wakil muda.

"Kita tahu China sentiasa mempunyai pelapis yang bersiap-sedia untuk mengambil-alih.

"Ini adalah satu ancaman.

"Pemain-pemain negara yang menyertai dua kejohanan, iaitu Terbuka Jepun dan Korea Selatan, mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali memenangi pertandingan."