Skuad beregu lelaki dan beregu campuran negara sudah mula berwaspada terhadap kebangkitan China menerusi bintang muda mereka yang menawan Siri Super Terbuka Jepun.

Ego China tercalar susulan kegagalan mereka untuk mengekalkan dominasi di Olimpik Rio.

Susulan daripada itu, mereka mengumumkan persaraan tujuh pemain senior yang memberi kesan terhadap seluruh skuad beregu mereka.

Tiada siapa menyangka China sebenarnya ada muslihat tersendiri apabila memenangi tiga daripada lima kategori di Tokyo, Ahad lalu.

Antaranya, beregu lelaki, Li Junhui-Liu Yuchen, dengan pasangan utama negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem tersingkir dalam pusingan kedua kepada satu lagi gandingan muda China, Huang Kaixang-Wang Yilyu.

"Saya rasa beregu lelaki kita sekarang ini belum ada jaminan untuk menang. Saya tengok dalam Terbuka Jepun, kesemua pilihan utama pun kalah.

"Setiap masa sekalipun anda lebih bagus, anda perlu sentiasa fokus dan bersedia.

"Bukan saya cakap seandainya anda bagus, tak fokus anda boleh memang. Ini kerana saingan dalam acara beregu ketika ini agak terbuka," jelas jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan.

Beregu campuran juga tidak terkecuali dengan juara remaja dunia, Zheng Siwei-Chen Qingchen, menewaskan pilihan kedua, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na, untuk muncul juara.

Ia menakjubkan memandangkan Sung Hyun-Ha Na sebelum itu menyingkirkan pasangan negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dalam separuh akhir.

"Pemain muda China memang bagus, terutama beregu campuran mereka, Zheng Siwei-Chen Qingchen, yang memenangi Terbuka Jepun.

"Peng Soon-Liu Ying pernah dikalahkan mereka di Terbuka Thailand tahun ini, jadi mereka adalah beregu yang sedang meningkat naik.

"Saya sudah jangkakan keupayaan mereka," kata jurulatih beregu campuran negara, Chin Ee Hui.