Peluang pemain remaja SSBJ serlah bakat

By Shaiful Shamsudin 3 November 2016
Peluang pemain remaja SSBJ serlah bakat
Jumlah penyertaan yang besar memberikan cabaran buat Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk menghadapi Pertandingan Badminton Jemputan SSBJ 2016. 

Gandingan SSBJ bersama Astro Kasih menyaksikan mereka menghantar empat pasukan, masing-masing dua penyertaan untuk kategori bawah 15 tahun serta 17 tahun.

Saingan ini menyaksikan beberapa pasukan luar negara seperti Singapura, Thailand serta Taiwan turut mengambil bahagian.

Menurut jurulatih SSBJ, Mohd Nazri Naser, peluang pasukannya memburu gelaran juara bagi kedua-dua kategori amat cerah berdasarkan persiapan yang diharungi. 

"Mereka telah berlatih sepanjang tahun. Untuk menghadapi pertandingan ini, kami mempersiapkan diri dalam tempoh tiga bulan. 

"Sebagai tuan rumah, ini adalah peluang untuk pelajar-pelajar menunjukkan bakat mereka. 

"Astro Kasih banyak membantu, terutama dari segi persiapan dan kelengkapan pemain. Astro Kasih juga membantu SSBJ dalam menyediakan kejohanan ini," jelas Nazri. 

Dalam pada itu, antara taruhan buat pasukan bawah 15 tahun SSBJ ialah Jacky Kok Jing Hong yang beraksi dalam acara perseorangan lelaki. 

Meskipun bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki, Jacky masih mampu menewaskan lawannya dari Taiwan dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan. 

"Kecederaan ini agak teruk. Ini adalah kejohanan berpasukan, jadi kami semua perlu memainkan peranan. 

"Walaupun ditimpa kecederaan, saya juga perlu berjuang. 

"Andai saya menarik diri tadi, mungkin pasukan saya akan mengalami kekalahan. Secara keseluruhan, pasukan Malaysia dalam keadaan baik," tekad Jacky. 
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment