Bintang meningkat naik beregu campuran, Lai Pei Jing, tidak akan memberi muka sekiranya perlu berentap menentang pasangan senior, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, di pentas Siri Super Premier Terbuka Denmark.

Denmark merupakan penampilan kedua Pei Jing dan gandingannya, Tan Kian Meng, dalam pentas Siri Super selepas Terbuka Australia.

Jika segala-galanya mengikut perancangan, Pei Jing/Kian Meng akan bertemu Peng Soon/Liu Ying dalam pusingan kedua.

Pelapis ini pernah menewaskan senior mereka pada awal tahun di GP Emas Malaysia Masters tetapi ia akan menjadi lebih manis lagi jika berjaya melakar kemenangan di pentas Siri Super.

Bagaimanapun, mereka perlu mengatasi halangan pertama, iaitu saingan di peringkat kelayakan Terbuka Denmark terlebih dahulu.

“Kami perlu berdepan tugas sukar berdepan beregu Denmark dalam aksi kelayakan. Jika bertemu Pei Jing/Liu Ying, kami akan memberikan yang terbaik untuk mengatasi mereka,” jelas Pei Jing.

Statistik buat Pei Jing dan Kian Meng sejak digandingkan Januari lalu juga menakjubkan, enam penampilan di pentas final, termasuk dua kejuaraan bertaraf GP.

Dengan objektif untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia sudah dalam tangan, Pei Jing menegaskan dia kini berupaya menikmati aksi kompetitif tanpa tekanan.

“Pencapaian yang telah kami peroleh adalah sesuatu yang di luar jangkaan, kerana Kian Meng perlu membiasakan diri beraksi dalam beregu campuran tetapi saya tidak terfikir dapat menghasilkan satu keputusan yang cemerlang.”