Dasar baru yang bakal diterapkan ketua jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman, dalam mengimbangi program senior dan pelapis berbakat mendapat sokongan penuh barisan pemain berpengaruh seperti Tan Wee Kiong.

Paulus diberi kepercayaan menjadi ketua jurulatih beregu lelaki menerusi pengumuman yang dibuat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kelmarin.

Ia dilihat sebagai langkah terbaik setelah Cheah Soon Kit yang mengemudi skuad itu selama 13 bulan gagal memberikan hasil diharapkan.

Terdapat peningkatan daripada gandingan muda seperti Aaron Chia-Soh Woi Yik tetapi pemain senior tetap di takuk sama sehingga menjadi faktor kegagalan Malaysia di pentas Piala Thomas.

"Saya mahu mencari jalan mendapatkan ramuan terbaik untuk mendapatkan gandingan terbaik dalam skuad beregu lelaki senior dan remaja," kata Paulus.

"Setiap peringkat skuad beregu perlu meningkat naik kerana ia akan menghadirkan persaingan yang sihat untuk mendapatkan persembahan terbaik," kata Wee Kiong.

Beregu lelaki mempunyai tugas sukar dalam Kejohanan Dunia. Selain Wee Kiong dan gandingannya, Goh V Shem, Malaysia akan diwakili satu lagi pasangan senior, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, di samping Aaron-Woi Yik.

Wee Kiong percaya Paulus yang membimbing dia sejak April lalu mampu menjadi pencetus kepada kebangkitan mereka.

"Jurulatih (Paulus) telah banyak membantu beregu negara untuk meningkat naik tetapi kami gagal menampilkan persembahan yang memberangsangkan dalam kejohanan yang disertai," kata Wee Kiong lagi.