Timbalan Presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, akan menyiasat perkara sebenar di sebalik kenyataan Datuk Lee Chong Wei berhubung konfliknya dengan Pengarah Teknikal badminton negara, Morten Frost.

Terbukti badan induk itu terkejut dengan perkembangan semasa memandangkan pemahaman sebelum ini adalah dua individu itu sudah mengetepikan perselisihan faham di antara mereka.

"Saya akan berjumpa dengan Chong Wei dalam tempoh sehari, dua ini untuk mendapat penjelasan daripadanya. Saya ingin mengetahui kenapa Chong Wei tidak boleh bersama-sama Frost," katanya menerusi perbualan telefon, hari ini.

Norza, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM menegaskan senario Chong Wei keluar daripada BAM sebagai satu tragedi.

Sehubungan itu, katanya, usaha untuk memastikan kemelut ini selesai dengan cara baik harus dilakukan.

"Saya tidak akan membenarkan perkara itu berlaku, cuma kami akan memutuskan cara penyelesaiannya nanti," tambahnya.

Terdahulu, Chong Wei mengakui dia sukar untuk memperbaiki hubungannya dengan Frost susulan perselisihan yang berlaku antara mereka.

Perang dingin antara Chong Wei dengan Frost bermula selepas pemain itu mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, 4 Februari lalu.