Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, sebagai chef-de-mission (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pencalonan ikon sukan negara itu telah dipersetujui sebulat suara oleh seluruh ahli gabungan MOM.

Setakat ini, katanya, hanya jawatan CDM diwujudkan dan keperluan untuk mewujudkan jawatan timbalan CDM bergantung kepada keperluan semasa, termasuk mengambil kira tahap kesihatan Chong Wei.

“Seluruh wakil yang datang daripada badan-badan sukan telah sebulat suara bersetuju dengan pencalonan Datuk Lee Chong Wei yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) baru-baru ini.

“Kami hanya akan dapat tahu saiz kontinjen negara pada awal tahun depan dan sekiranya pada waktu itu kami perlukan pembantu, mungkin kami akan pertimbangkan untuk melantik seorang timbalan CDM.

"Berdasarkan jumlah atlet yang telah layak setakat ini, hanya seorang CDM kita perlu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Wisma MOM, hari ini.

Mengulas lanjut, Norza menyifatkan pelantikan Chong Wei itu satu perkembangan dan pendedahan positif, terutama buat bekas pemain itu dalam meniti perjalanan sebagai seorang ikon sukan pasca persaraannya.

Menurutnya, satu seminar berkaitan peranan menyeluruh CDM akan diadakan Ogos ini.

“Beliau bersara sebagai seorang atlet yang begitu berjaya dan selama ini beliau melihat dari jauh bagaimana proses pengurusan melibatkan temasya sukan. Chong Wei terlibat dengan kesemua acara sukan yang besar di dunia dan Sukan Olimpik bukan sesuatu yang asing buat dirinya.

“Pelantikan ini satu pendedahan yang baik untuk beliau dan kami akan menjemput beliau menyertai satu seminar berkaitan CDM ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada Ogos ini,” tambahnya.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata MOM hari ini bersetuju untuk menerima permohonan Persekutuan Ski Malaysia (MySkate) dan Persatuan Floorball Malaysia untuk menjadi ahli bersekutu MOM.

-- BERNAMA