Lee Zii Jia akan terus menjadi perhatian barisan kejurulatihan dan juga peminat badminton tanah air selagi belum ada yang mencabar kedudukannya sebagai pemain perseorangan nombor satu Malaysia.

Nama Zii Jia terus meniti di bibir komuniti badminton Malaysia susulan prestasi turun naiknya.

Luahan hati Zii Jia di laman sosialnya, 12 April lalu, terus membangkitkan kegusaran sambil dia menawarkan gambaran situasi yang membelenggunya di luar gelanggang.

Ada maklum balas positif daripada peminat badminton tanah air, tidak kurang juga yang menawarkan kritikan lantang.

Hakikatnya, Zii Jia yang menduduki ranking ke-22 dunia, adalah pemain utama Malaysia dan dia akan memulakan misi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan penampilan dalam Terbuka New Zealand, bermula Selasa depan.

"Adakalanya kalau kita tidak berikan kelebihan kepada seseorang pemain yang memiliki potensi besar, situasi itu agak sukar baginya.

"Apabila kita bercakap mengenai bakat, kita belum tahu lagi sejauh mana seseorang pemain itu mampu menyerap ilmu daripada sesi latihannya.

"Kebiasaannya, saya akan menilai mereka berdasarkan kebijaksanaan dan ketahanan mereka dalam latihan.

"Kalau kami terlalu menumpukan perhatian kepadanya sementara dia pula tidak dapat menerima tunjuk ajar yang penuh keamatan, jadi tiada gunanya," jelas Misbun.