Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, sedang merangka program latihan khas untuk membantu Datuk Lee Chong Wei menyertai Kejohanan Seluruh England, Mac tahun depan selepas jaguh perseorangan itu pulih daripada kanser hidung.

Program latihan Chong Wei tidak sama dengan pemain lain walaupun sudah pulih daripada kanser hidung, namun kudrat pemain itu tidak sama seperti dahulu.

Misbun menyedari Chong Wei tidak sabar untuk menyertai kejohanan pertama selepas mengalami kanser hidung sejak Julai lalu, namun dia perlu berhati-hati.

"Kami akan mengetahui apa yang diperlukan selepas kembali bersama skuad kebangsaan dalam tempoh seminggu. Selepas itu, kami akan mengatur persiapan yang terbaik buat Chong Wei," kata Misbun.

Chong Wei sedang berbincang dengan doktor mengenai tarikh sesuai untuk menjalani sesi latihan pertama dan dijangka kembali ke gelanggang bulan depan.

Dalam perkembangan lain, Presiden Kelab Nusa Mahsuri, Datuk Seri Jalani Sidek, menyifatkan rancangan perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sesuatu yang tidak tepat.

"Iskandar perlu memikirkan secara terperinci untuk keluar daripada BAM. Tetapi kita harus menghormati keputusannya," kata Jalani.