Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menanti perang psikologi dari China ibarat permainan catur dalam memastikan Datuk Lee Chong Wei tidak rebah dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland.

Lawan Misbun di pentas tertinggi dunia bukan lagi seterunya, Li Yongbo, dengan tugas ketua jurulatih skuad Negara Tembok Besar itu kini adalah tanggungjawab Xia Xuanze.

Meskipun pengalaman Xuanze tidak sehebat Yongbo atau Misbun, mentor Chong Wei ini enggan mengambil risiko dalam menegaskan tetap perlu mengkaji pendekatan rejim baru China.

"Perang psikologi ini sama seperti permainan catur, masing-masing mempunyai peranan, cuma bezanya Li Yongbo sudah meninggalkan pasukan China.

"Jadi, ini adalah satu cabaran yang besar buat saya kerana Malaysia sudah mengetahui kekuatan Tembok Besar China itu dalam saingan Kejohanan Dunia," katanya.

Glasgow menjadi kejohanan pertama Misbun akan duduk di belakang Chong Wei selepas membuat penampilan mengejut dalam Terbuka Malaysia 2011 susulan perleakan jawatannya.

Atas dasar itu, Misbun menyifatkan kempen ini sebagai sesuatu yang istimewa.

"Ini adalah misi baru dan saya tidak menyangka akan belayar untuk mencari sesuatu yang diharapkan.

"Saya berharap pemergian ke Glasgow akan memberikan makna secara keseluruhannya kepada Malaysia."