Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, mahu bilangan pemain bahagian berkenaan bertambah bagi menghadapi musim 2019 agar persaingan antara mereka dapat terus ditingkatkan.

Ketika ini, lapan pemain perseorangan berada dalam skuad negara yang turut dikendalikan Hendrawan serta Sairul Amar Ayob.

Begitupun, tahap sebenar Datuk Lee Chong Wei masih belum pasti susulan rawatan akibat barah hidung sejak Julai lalu manakala Iskandar Zulkarnain mengambil keputusan mencari haluan lain bermula 2019 nanti.

Lantas, Misbun berharap ada pemain yang dapat diserapkan ke bahagian perseorangan negara yang ketika ini diterajui oleh Lee Zii Jia.

"Saya akan tambah dan menggunakan tempoh percubaan untuk beberapa pemain ke dalam skuad perseorangan negara," kata Misbun.

Di samping mengharapkan penambahan pemain, Misbun turut mahu melihat pemain negara lebih konsisten dalam pertandingan yang disertai mereka.

Ini kerana 2019 merupakan tahun penting dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo dan setiap pemain perlu memanfaatkan kesempatan meraih mata ranking bagi melonjakkan mereka ke kedudukan lebih baik.

"Bagi saya, berikan masa untuk pemain perseorangan negara untuk memahami program yang diterapkan sebelum mempamerkan aksi cemerlang di pentas antarabangsa."