Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, tidak mahu ada jurang di antaranya dan Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, ketika pemburuan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi keutamaan.

Antara cabaran yang bakal dihadapi Choong Hann apabila beliau memulakan tugas pada Januari 2019 adalah untuk memperoleh pengiktirafan daripada jurulatih senior seperti Misbun.

Apatah lagi Misbun pernah membimbing Choong Hann untuk satu ketika sebelum muncul naib juara dunia 2003 dan bersara pada 2012.

"Saya pernah mendidik Choong Hann pada 2002. Saya mengenali Choong hann dan berharap kami dapat bekerjasama secara profesional dalam membantu barisan pemain perseorangan negara," kata Misbun.

Daripada perspektif skuad perseorangan lelaki, terdapat peningkatan prestasi menerusi pemain seperti Leong Jun Hao, Tan Jia Wei, Cheam June Wei dan Lee Zii Jia.

Misbun mengharapkan agar Choong Hann memberikan kepercayaan kepadanya untuk meneruskan program skuad itu tanpa perubahan drastik.

"Saya berharap Choong Hann dan pihak pengurusan memahami corak persiapan pemain yang telah saya sediakan. Ia merupakan tanggungjawab saya melatih pemain-pemain untuk menghadapi kejohanan," tambahnya.