Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, memuji peningkatan prestasi yang ditunjukkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam Kejohanan Badminton Terbuka China di sebalik kontroversi perlawanan separuh akhir bertemu wakil dari Denmark, Jan O Jorgensen.

Penarikan diri oleh Chong Wei daripada menyertai Terbuka China memberikan peluang buat Iskandar untuk menyinar.

Secara peribadi, Chong Wei mengagumi kesungguhan Iskandar untuk membuktikan bahawa dia berkemampuan menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan negara yang selama ini diletakkan kepadanya.

Hanya kekuatan mental Iskandar perlu dipertingkatkan lagi agar tidak mudah longlai apabila psikologinya diasak lawan.

"Jorgensen akan bermain dengan psikologi Iskandar untuk menggugat permainannya, itu merupakan satu pengalaman yang baru buat Iskandar untuk menerima kekalahan serta meningkatkan kekuatan mentalnya," kata Chong Wei.

Jorgensen dilihat kurang semangat kesukanan apabila membuang baju Iskandar ketika kedua-dua pemain sedang bertukar gelanggang pada pertengahan set ketiga.

Selain itu, Jorgensen juga acap kali memanggil Iskandar dengan nama Chong Wei bagi meruntuhkan mental pemain itu.

"Saya tidak berasakan ia satu alasan kekalahan Iskandar. Ini merupakan pertandingan, perang psikologi akan sentiasa berlaku.

"Perkara yang paling penting adalah memastikan rentak permainan konsisten sepanjang perlawanan."