Pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Wee Kiong, menegaskan tidak ada alasan untuk mereka tidak mengimpikan bergelar juara Seluruh England.

Dalam kesibukan untuk melayakkan diri ke Olimpik Rio tahun lalu, Wee Kiong dan gandingannya, Goh V Shem, tetap berupaya melangkah ke separuh akhir kejohanan berprestij itu.

Edisi kali ini tidak ada bezanya buat Wee Kiong yang berasakan selaku pilihan utama, misi mereka adalah untuk memenangi setiap kejuaraan yang disertai.

"Kami perlu sentiasa berkerja keras untuk memastikan kami berada di tahap terbaik dan cuba untuk meraih keputusan yang positif dalam setiap kejohanan," jelas Wee Kiong.

Wee Kiong dan V Shem bakal membuka kempen di Birmingham menentang pasangan Jepun,Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Mengikut ramalan, cabaran sebenar pasangan negara ini dijangka bermula dalam suku akhir berdepan pasangan meningkat naik China, Li Junhui-Liu Yuchen.

Secara keseluruhan, Wee Kiong-V Shem berada dalam kelompok undian mencabar kerana menanti mereka ialah seteru dari Jepun dan Indonesia.

"Terdapat beberapa beregu dari Indonesia dan Jepun yang mempamerkan peningkatakan dalam permainan mereka, bakal memberikan kesukaran buat kami."