Memori Piala Thomas 1992 terlalu manis -- Dr. Siti Hasmah

By Bernama 9 October 2019
Memori Piala Thomas 1992 terlalu manis -- Dr. Siti Hasmah
Biarpun sudah 27 tahun berlalu, memori Piala Thomas 1992 masih segar dalam ingatan dan sentiasa membuatkan isteri perdana menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, bergenangan air mata.

Air mata itu bukan menandakan kesedihan, namun beliau mempunyai nostalgia indah bersama skuad badminton negara yang muncul juara piala berprestij itu.

Melalui tayangan video aksi final Piala Thomas 1992 pada tanggal 16 Mei ketika Malaysia mencari mata kemenangan ke atas Indonesia, kelibat peminat sukan badminton nombor satu negara itu 'tidak senang duduk' di tempat penonton.

Beliau dengan berbaju kurung merah putih dilihat mengangkat tangan berdoa ketika aksi beregu lelaki, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang, yang mencari mata kemenangan Malaysia, berjaya menundukkan Indonesia 3-2 dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Negara itu.

Dan hari ini, ketika majlis pelancaran program Juara Tangkis, Dr. Siti Hasmah yang ibarat seorang ibu kepada pemain, menitiskan air mata apabila sekali lagi dikelilingi legenda Piala Thomas ketika itu.

"Ketika Rashid Sidek menjemput saya ke acara ini hari ini, saya mula digenang air mata seperti sekarang apabila melihat anda semua….sahabat dan wira-wira...semua sudah rambut putih tapi masih sihat dan bertenaga.

"Peranan saya sebagai penanung badminton ketika itu adalah untuk menjadi ibu kepada mereka semua dan perkara utama saya inginkan ialah memastikan apabila saya berada di sana, mereka bermain bersama sebagai satu pasukan.

“Ia adalah perkara paling sukar yang boleh dilakukan seorang ibu untuk menjadikan keluarga sebagai satu pasukan, terutama dalam sukan, dan kami harus bangga dengan situasi itu pada tahun 1992….anak-anak muda bangkit dan saya tidak akan melupakannya,” katanya.

Dr. Siti Hasmah berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran program berkenaan yang diilhamkan Kelab Badminton Sports Affairs sebagai tanda penghormatan kepada beliau.

Skuad negara ketika itu dibarisi Rashid, Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng serta dua pasangan beregu, Razif Sidek-Jalani Sidek, dan Soon Kit-Beng Kiang.

Program itu adalah platform menghimpunkan lapan legenda badminton untuk mencari, melatih dan mengasah bakat 96 bakal juara badminton masa depan.

Dalam majlis itu juga, Dr Siti Hasmah sempat 'membawang' apabila mendedahkan situasi genting yang dihadapi pasangan beregu lelaki Soon Kit-Beng Kiang menjelang aksi final mereka.

"Saya hendak ‘membawang’ (gosip) sikit...situasi ketika Piala Thomas itu. Saya tahu, ketika itu mereka (Soon Kit-Beng Kiang) sedang bergaduh. Saya pergi berjumpa Soon Kit dan cakap pada dia, tiada pasangan lain yang lebih baik untuk digandingkan dengan awak selain Beng Kiang.

"Perkara yang sama saya cakapkan kepada Beng Kiang selepas berjumpa Soon Kit dan kemudian mereka masuk ke dalam gelanggang untuk beraksi. Paling manis, mereka meraih mata kemenangan buat negara," katanya.

Legenda badminton yang terlibat dalam program yang diketuai Rashid itu terdiri daripada bekas pemain skuad Piala Thomas dan Sukan Olimpik Malaysia, iaitu Kok Keong, Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Mereka akan membentuk lapan pasukan terdiri daripada 12 pemain yang dikenal pasti dalam jerayawara seluruh negara bermula Oktober dan aksi final akan berlangsung pada Disember ini.

-- BERNAMA

About Author

Bernama

Comment