Pemain beregu wanita negara, Chow Mei Kuan, berharap persembahan konsisten dalam tiga pertandingan terakhir tahun ini dapat diteruskan bersama gandingannya, Lee Meng Yean, untuk menghadapi misi penting 2018.

Mei Kuan serta Meng Yean mempamerkan aksi yang cukup baik, khususnya dalam Kejohanan Masters Korea awal bulan ini, yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.

Selain itu, mereka juga menjejak separuh akhir Terbuka Vietnam pada September lalu di samping suku akhir untuk empat lagi pertandingan, antaranya Terbuka Macau, bulan lalu.

Lantaran itu, Mei Kuan mahu memanfaatkan tempoh rehat pra-musim ini sebagai medan untuk memperbaiki kelemahan supaya dapat tampil lebih mencabar pada tahun depan.

"Tahap permainan kami semakin berkembang. Kami harus mengekalkan gaya serangan dan bertahan di samping keperluan mengetengahkan strategi baru," ujar pemain beregu wanita kedua negara di belakang Vivian Hoo-Woon Khe Wei itu.

Secara peribadi, Mei Kuan menyasarkan untuk memperolehi gelaran sulungnya pada 2018 di samping cuba meningkatkan lagi ranking dunia.

Selain itu, mereka juga pastinya menjadi sandaran skuad Piala Uber negara untuk mengharungi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan yang menjadi medan kelayakan ke pusingan akhir di Bangkok, Mei nanti.

"Bermula tahun depan, setiap kejohanan yang disertai adalah berdasarkan ranking dunia.

"Jadi, saya menyasarkan kedudukan 10 terbaik dunia selain menjuarai kejohanan utama seperti Grand Prix Emas dan mempamerkan persembahan yang luar biasa," katanya lagi.