Pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, muncul satu-satunya wakil negara yang akan meneruskan cabaran di pentas akhir Masters Malaysia 2019 di Arena Axiata, Bukit Jalil esok.

Bertemu sesama sendiri dalam separuh akhir hari ini, Yew Sin dan Ee Yi menewaskan rakan mereka, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 21-6, 18-21, 21-19.

Dalam perlawanan akhir esok, Yew Sin-Ee Yi akan berdepan lawan sebenar apabila bakal bertemu pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Yew Sin berkata: "Saya rasa hari ini kedua-dua pihak bermain di bawah tahap sebenar. Cuma, siapa yang lebih konsisten muncul pemenang kerana kedua-duanya kerap melakukan kesilapan sendiri.

“Kami kena bangkit untuk perlawanan esok kerana bukan mudah untuk menentang Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya. Memang kami perlukan strategi yang lebih baik esok."

"Mereka adalah pasangan ranking nombor satu dunia. Pengalaman dan keberanian mereka sudah tentunya lebih daripada kami tetapi kami tidak akan mengaku kalah dengan mudah. Bagi saya, peluang esok adalah seimbang dan tetap akan memberikan tentangan sengit," tambah Ee Yi.

Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya yang juga pilihan pertama kejohanan mara apabila mengatasi beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, 21-18, 24-22 dalam aksi sengit yang berlangsung selama 37 minit dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Malaysia memiliki ramai wakil di peringkat separuh akhir hari ini tetapi gagal meneruskan kemaraan apabila tewas kepada lawan masing-masing.

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, tumpas 16-21, 16-21 kepada juara bertahan kejohanan dari Thailand, Ratchanok Intanon.

Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, juga terkeluar selepas bersaing dalam tiga set apabila tewas 15-21, 21-7, 14-21 kepada pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, pula akur apabila terpaksa memberi kemenangan percuma kepada pemain Korea Selatan, Son Wan Ho, untuk ke perlawanan akhir apabila kecederaan tapak kaki kiri memaksanya menarik diri daripada beraksi.