Impian untuk menyaksikan pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei, melangkah ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia musnah apabila dikecewakan pasangan China di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Di atas kertas, Vivian dan Khe Wei diletakkan sebagai pilihan kelapan sementara lawan, Huang Dongping-Li Wenmei, berada di ranking ke-126 dunia.

Namun, mereka dikejutkan dengan ketangkasan lawan sebelum tersungkur 14-21, 18-21.

“Ini adalah kejohanan pertama tahun ini, tambahan pula ia diadakan di Malaysia sehingga membuatkan saya mahu beraksi baik.

"Tekanan itu memang ada. (Tetapi) saya fikir saya tidak bermain baik kali ini," kata Vivian.

Sementara itu, pemain profesional negara, Liew Daren, terus melangkah ke peringkat suku akhir apabila menundukkan lawan dari Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin, 21-17, 19-21, 21-16.

“Saya rasa susah sikit untuk bermain dalam set kedua, susah nak kawal.

"Namun, dalam set ketiga, walaupun pada mulanya ketinggalan, saya masih boleh fokus,” kata Daren.